Followers


Saturday, June 6, 2009

Luahan Sorang Isteri

'Akhil, Waheeda main wayang'
Oleh Zubir Mohd Yunus

KONTROVERSI 'cinta rahsia' membabitkan penceramah bebas dan role-model Astro Oasis, Akhil Hayy, 40, dengan pelakon, pengacara dan penyanyi irama padang pasir, Waheeda, 31, sejak dua tahun lalu akhirnya terbongkar apabila isteri Akhil, Maizawati, 33, membuat pendedahan pertama menerusi media massa pada 24 Mei lalu. Maizawati mengakui dia menuntut perceraian apabila kes berkenaan bakal disebut di Mahkamah Rendah Syariah, Ipoh, Perak, 2 Jun ini.

Maizawati turut mendedahkan, suaminya itu pernah membuat pengakuan pada Februari lalu bahawa dia dan Waheeda sememangnya mempunyai hubungan, selain meminta keizinannya untuk berkahwin dengan penyanyi berkenaan. Maizawati mendakwa memberi keizinan kepada Akhil untuk berkahwin dengan Waheeda, namun sehingga saat ini tiada perkembangan terbaru sama ada mereka sudah berkahwin atau sebaliknya.

Desas-desus menyebut kononnya Akhil dan Waheeda sudah bernikah di sebuah lokasi dikenali sebagai Darul Atiq iaitu sebuah tempat di pertengahan jalan menghala ke Kuala Kubu Bahru. Namun, gosip berkenaan tidak menyebut tarikh Akhil dan Waheeda dinikahkan, sekadar menyatakan masa iaitu kira-kira jam 2 pagi kononnya mereka sah bergelar suami, isteri!

Pun begitu, Maizawati tidak dapat menerima kenyataan itu selagi pengesahan berhubung dakwaan pernikahan berkenaan belum keluar daripada mulut suaminya. Pertemuan yang diatur TV3 & TV9 pada 26 Mei lalu memberi kesempatan kepada Maizawati meluahkan isi hatinya kerpadas B*Pop. Beliau sekadar untuk berkongsi cerita dan kedukaan, bukan berniat meraih simpati atau jauh sekali membuka aib sesiapa.

“Asalnya memang saya tidak percaya gosip. Tapi, apabila saya mengikuti apa dipaparkan media massa, termasuk gosip, saya sebenarnya menjadi pemerhati. Namun, apabila saya ‘check and balance’, kisah yang dipaparkan media massa itu seolah-olah ada kebenarannya sekalipun tidak memperoleh kata pasti apabila Ustaz (Akhil) tidak pernah mengaku dia ada apa-apa hubungan dengan Waheeda.

Saya ambil perkara itu sebagai positif. Saya hanya tunggu dan lihat kerana saya pasti kebenaran akan terbukti suatu hari nanti. Setahu saya, Ustaz dan Waheeda mula mengenali dan berkawan apabila mereka bekerjasama untuk satu program TV sekitar 2007. Benar, Waheeda bersama temannya pernah datang ke rumah saya pada Hari Raya.

Saya dan anak-anak memang meminati Waheeda sebelum suami saya terbabit dengannya. Apabila dia datang ke rumah, sebagai peminat saya menghormatinya sebagai artis. Ketika itu memang tak terlintas langsung akan terjadi perkara seperti hari ini. Pada kunjungan itu juga, saya pernah mengusik Waheeda untuk menjodohkannya dengan Abang Ustaz yang masih belum berkahwin.

Justeru, apabila tersebarnya gosip Ustaz dan Waheeda keluar bersama menonton wayang, memang memeranjatkan saya! Sekalipun gosip itu terus diperkatakan, saya masih tak mahu percaya sebab Ustaz tak pernah cakap apa-apa. Apabila saya bertanyakan gosip berkenaan kepada Ustaz, dia sekadar memberitahu, biasalah, surat khabar... Saya pun percaya.

Apabila saya membaca semula artikel berkenaan, bagi saya yang banyak bersandiwara ialah Waheeda. Mungkin Ustaz nak menjaga hati saya, jadi dia mungkin tak sampai hati nak menceritakan perkara sebenar. Waheeda banyak main ‘drama’ apabila berdolak dalik kisah mereka menonton wayang. Kalau betul mereka menonton wayang, mengapa Waheeda memberi kenyataan putar belit?

Apabila saya baca gosip mereka akhirnya naik satu kereta, itu saya tak boleh terima! Kononnya tengok wayang cerita lain-lain, tapi apabila balik naik satu kereta. Kenapa nak reka cerita? Terbaru, tersebar di internet gambar Ustaz bersama Waheeda bersantai di tepi pantai pada waktu malam dan ini menunjukkan antara mereka masih ada ‘drama’.

'Mengaku sajalah Waheeda...'

MENERUSI laporan Hip Berita Harian 6 Mei lalu, Waheeda ada buat pengakuan, dia amat menyukai Ustaz. Saya nak tahu juga, amat menyukai atas dasar apa? Sebelum itu Waheeda memberitahu dia tidak berkahwin atau menjalin ikatan cinta dengan Ustaz, tapi dia amat menyukai Ustaz, saya tak faham! Betul ke dia ni, kalau betul takkan cakap macam tu!

Kali terakhir Ustaz pulang ke rumah pada Februari lalu, mengaku dia nak kahwin dengan Waheeda. Dia memberitahu lagi, Waheeda pun bersedia untuk jadi isteri kedua. Kalau betul caranya, tak apalah, kita ikut prosedur. Selepas pengakuan itu, saya beri keizinan berkahwin kepada Ustaz, tapi sehingga ke hari ini dia langsung tak pulang ke rumah dan tak pernah telefon! Dia hanya mengirimkan duit, tanggung jawab lain diabaikan.

Justeru, saya bertekad untuk menuntut cerai daripada Ustaz. Benar, saya cuba mempertahankan rumah tangga kami, tapi selepas pihak di sana (Akhil, Waheeda) tak mahu mengalah, saya tiada pilihan. Kalau mereka tak ada masalah, selepas saya beri keizinan, sepatutnya tak timbul isu penafian demi penafian. Kenapa dia (Waheeda) menangis, mengaku tak ada apa-apa hubungan dengan Ustaz? Mengaku sajalah, mungkin kami akan kahwin, tutup cerita!

Saya pelik, mengapa mereka tak mahu buat pengakuan sejujur-jujurnya. Saya buat kesimpulan, mungkin Waheeda tak menyangka, saya boleh menerimanya sebagai madu. Dan mungkin juga dia beranggapan saya akan memberontak dan minta Ustaz ceraikan saya. Jarang kita bertemu isteri yang sanggup dimadu.

Perceraian jalan terbaik

SAYA dah beri Ustaz keizinan, apa lagi yang dia nak? Jadi, jalan terbaik, Ustaz lepaskan saya. Sepatutnya selepas saya beri izin Ustaz kahwin, gosip-gosip ini dihentikan, umumkan mereka akan kahwin, itu yang saya nak! Media massa tak akan korek lagi cerita apabila mereka dah mengaku. Mengapa cipta keaiban untuk diri sendiri?

Waheeda dalam laporannya kepada Berita Harian pada 26 Mei, mendakwa saya memburuk-burukkan dirinya, tapi bacalah kenyataan saya sebelum ini, adakah saya memburukkannya? Malah, saya ucapkan tahniah kepada Waheeda sekiranya benar dia hendak berkahwin dengan Ustaz. Saya sekadar menceritakan kebenaran, tapi kebenaran itu memanglah pahit. Dah Ustaz tak balik rumah, takkan saya nak kata dia balik.

Katanya lagi (Waheeda), jangan sampai saya hilang sabar hingga dedahkan segala-galanya, takut dia pula nanti tak berani keluar rumah kerana malu. Sebenarnya dia tak sedar apa yang dia cakap. Percakapannya ikut emosi. Sekiranya benar dia seorang yang berpendidikan tinggi seperti yang digembar-gemburkan, dia tak akan cakap begitu.

Cara dia bercakap menunjukkan siapa dia yang sebenarnya. Dia bukan orang biasa, dia selebriti, saya ini orang biasa, orang tak kenal. Siapa sebenarnya perampas atau menghancurkan rumah tangga saya, masyarakat dah boleh menilai, saya tak perlu cakap apa-apa. Siapa makan cili, dia rasa pedas. Saya cuma kata, kalau dia ada jodoh dengan Ustaz, kahwin saja.

Tiada maaf lagi untuk Ustaz

KALAU apa yang saya dedahkan ini cerita tipu, bermakna Ustaz pun tipu apabila dia mengaku nak berkahwin dengan Waheeda. Persoalannya sekarang, Waheeda sewajarnya bertemu dengan saya sebelum perkara ini meletup. Sekarang ni dah meletup, saya pun dah nak masuk mahkamah, jadi tak ada makna sekiranya saya bertemu Waheeda.

Desas-desus kononnya Ustaz dan Waheeda sudah bernikah di Darul Atiq, kita tak boleh percaya sepenuhnya, kita masih tak ada bukti. Walaupun sudah berkahwin, Ustaz perlu mengisytiharkannya, saya perlu tanda tangan, protokol di Perak, kalau di tempat lain, ada sesetengahnya tidak memerlukan tanda tangan isteri. Menurut sumber di Darul Atiq, Ustaz tak pernah bernikah di situ.

Sekarang kalau benar mereka dah berkahwin, Ustaz perlu menunjukkan bukti hitam putih. Setahu saya, mereka belum berkahwin, tapi antara Ustaz dan Waheeda, mereka mungkin ada hubungan, macam orang bercinta, proses mengenali antara satu sama lain.

Justeru, 2 Jun ini saya harap Ustaz ceraikan saya, itu saja yang saya tuntut. Biarlah saya menjalani hidup bersama anak-anak daripada terus ditipu dan hidup tertekan dengan macam-macam cerita negatif. Saya dah beri tempoh kepada Ustaz sehingga saya terpaksa tuntut cerai, bermakna tiada maaf lagi, tiada lagi harapan antara saya dan Ustaz.

Harapan saya pada 2 Jun ini, Ustaz ceraikan saya dan anak-anak perlu menerima hakikat, mereka dah tak ada ayah. Seandainya Ustaz berkahwin dengan Waheeda dan dia inginkan anak-anak, saya beri. Saya bukannya jenis ibu yang suka berebut anak. Kepada Waheeda, apabila dia kata dia hilang sabar, saya harap dia berfikir, siapa dia sebenarnya, siapa anda di sisi dia (Akhil)? Jangan sampai saya buka pekung mereka pula.”

INFO:

  • NAMA PENUH: Maizawati Zainal
  • UMUR: 33 tahun
  • ASAL: Segamat, Johor, namun dibesarkan di Ipoh, Perak
  • KELUARGA: Anak tunggal
  • PEKERJAAN: Suri rumah
  • PERKAHWINAN: Menikahi Akhil pada 1996 dan dikurniakan enam cahaya mata berusia antara dua hingga 16 tahun