Followers


Saturday, June 6, 2009

Just For Share

Akhil, Waheeda kena bijak tangani gosip
Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

Akhil dan Waheeda saling menafikan gossip hubungan mereka.

KONTROVERSI gosip penyanyi nasyid solo popular, Akhil Hayy dengan penyanyi wanita yang menyerlah dengan lagu berirama padang pasir, Waheeda terus berlaku. Biarpun giosip ini tidak sepanas dulu yang mengaitkan kononnya mereka sudah bernikah dan Waheeda adalah isteri kedua Akhil tetapi masing-masing menafikannya dan cerita itu pun menjadi sejuk.

Namun, gosip terhadap mereka kononnya sedang bercinta terus berlaku apabila mereka dikaitkan pergi bersama menonton wayang. Apabila isu gosip mereka dibangkitkan, Akhil bagaikan melenting dengan mempersoalkan pihak media dengan kenyataan kenapa media tonjolkan isu negatif seperti isu mereka kononnya bernikah dan tengok wayang sedangkan banyak lagi isu lain yang boleh diperkatakan.

Beliau mungkin lupa bahawa isu positif mengenai diri beliau dan Waheeda sebenarnya lebih banyak dipaparkan media massa melainkan beberapa kali saja isu gosip mereka itu dipaparkan. Persoalannya, kenapa mereka mudah melenting sampai begitu sedangkan artis lain dah ramai jadi bahan gosip tetapi tidak melenting seperti Akhil yang seharusnya lebih tawaduk dan reda dengan apa yang berlaku ke atas dirinya memandangkan dia kini menjadi insan popular dalam industri hiburan yang pelbagai kerenah dan rencamnya. apatah lagi imej Akhil adalah seorang ustaz dan penceramah bebas yang sering menasihati pendengar supaya hidup ini kena banyak bersabar dan tenang dalam segala dugaan.

Akhil sendiri dalam kenyataannya lagi mengaku beliau sedar dalam dunia ini juga memang banyak fitnah. Soal fitnah satu hal tetapi apabila perlakuan sendiri mengundang syak dan menimbulkan prasangka kepada orang ramai dan peminat, ia akan menjadi buah mulut dan cerita itu akan merebak ke merata tempat dan apabila diketahui wartawan, ia adalah satu berita tidak pasti yang dianggap cerita desas-desus lalu timbullah gosip.

Akhil tidak boleh mempertikai kenapa media massa membangkitkan gosip dia pergi menonton wayang dengan Waheeda dan kenapa dia menjadi bahan gosip yang dikaitkan kononnya bercinta dan bernikah dengan Waheeda. Gosip seperti itu bukan cerita negatif tetapi kalau benar mereka berkahwin, ia satu berita baik iaitu kisah mendirikan rumah tangga iaitu tindakan murni, maklumlah gosip mereka membina masjid. Itu gosip yang mulia bukannya negatif.

Namun, sesudah mereka kerap menafikan gosip itu, mereka harus ingat bahawa mereka berada dalam industri hiburan yang tidak akan terlepas daripada cakap-cakap peminat dan menjadi bahan tulisan wartawan dan media massa, apatah lagi mereka pula memperlihatkan keintiman dan dikatakan kerap muncul berdua di khalayak ramai sehinggalah baru-baru ini Akhil mempelawa Waheeda menyertai programnya berbentuk bual bicara berjudul Akhil Hayy Cafe.

Malah, mereka sudi bergambar bersama dengan mesra. Dalam kenyataannya pada sidang media itu, Akhil dengan seloroh memberitahu “Waheeda adalah isterinya tetapi cuma dalam Akhil Hayy Cafe sebagai Hani Alzahra”. Itu memang tidak salah tetapi apabila dulu sudah menjadi bahan usikan dalam media dan kini mereka seolah-oleh selesa menjadi ‘suami isteri’ dalam program TV, tentunya kaitan ini satu cerita menarik dan gosip mengenai hubungan mereka akan terus diperkatakan.

Kenapa Akhil pilih Waheeda untuk program itu? Tidak adakah artis lain yang bertudung? Tentu ada Akhil ada kepentingan dan selesa dengan Waheeda. Kalau Akhil cuba berusaha mengelak gosip atau tuduhan bersifat fitnah daripada berterusan, beliau boleh mengambil saja artis lain untuk watak isterinya itu. Tetapi mungkin ada sebab lain kenapa Waheeda dipilih. Apabila Waheeda dipilih untuk program itu, rasa syak dan curiga ini akan berterusan. Akhil seharusnya tahu untuk mengelak daripada terus berlaku sesuatu yang boleh mengundang syak di kalangan masyarakat dan peminatnya.

Ingat, sudah banyak kali artis yang menafikan gosip kononnya mereka tidak bercinta, tidak bercadang nak kahwin dan tidak ada hubungan istimewa tetapi kesudahannya mereka naik pelamin dan sudah beranak pinak. Tak perlu bagi contoh artis mana, lihat sendiri siapa artis yang sudah berkahwin ketika ini dan bagaimana cerita cinta mereka dulu tersebar sebagai bahan gosip, menafikan bagai nak rak, menipu wartawan, berbohong kepada peminat dan masyarakat, akhirnya dengan selambanya membuat pengakuan malah diadakan sidang media mereka mahu berkahwin.

Ingatlah, kita juga tidak tahu siapa jodoh kerana jodoh di tangan Tuhan. Allah saja yang Maha Mengetahui.

Akmal