Followers


Tuesday, November 3, 2009

manusia-manusia hipokrit

ok ni aku nak kongsikan info berguna untuk sume...x kiralah yg benci aku atau x...x kisah...x rugi pun....setiap orang melakukan kesalahan..bergantung pada diri masing2 kesalahan yg macam mane...cuma nak ingatkan...orang lain buat dosa tu janganlah heret diri ko yang baik sangat tu ke arah dosa jugak...ko kan solat 24 jam...takkan x paham....oklah ni artikel ni aku nak kongsi ngan kawan2...ko nak baca jugak boleh...mudah2han Allah swt sentiasa menjaga diri aku dari orang2 hipokrit...aku tau aku banyak buat salah...tapi at least aku dah sedar...bukan mcm org lain tu...busy body je nak mengumpat hal org lain...hahahahahahaha

diambil daripada akupeduli....

Kita biasa mendengar seruan dan dorongan supaya kita menjadi diri sendiri. Bertindak dengan keberanian, dengan keaslian, dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Tidak perlu meniru orang lain, atau cuba menjadi seorang lain yang kita kagumi atau yang kita yakini lebih baik dari diri kita. Kerana sesungguhnya, diri kita adalah yang terbaik yang Allah telah kurniakan, yang wajar kita syukuri.

Dan sesungguhnya, bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk kita 'kembali' menjadi diri kita yang sebenar-benarnya.

Mengapa? Dan bagaimana?

Adalah tidak terlalu melampau sekiranya dikatakan bahawa nafsu, merupakan satu elemen yang mempunyai kekuatan yang amat besar untuk mengubah diri seseorang menjadi 'orang lain'. Bukan sedikit orang yang hidupnya didokong oleh seruan nafsunya. Manusia dilahirkan bersifat fitrah. Sukakan kebaikan dan mahukan keamanan. Tidak ada orang yang mahu hidup dalam penindasan dan kekacauan. Lantas, mengapa begitu ramai manusia masih memilih untuk berbuat kerosakan? Ini adalah kerana mereka sebenarnya menjadi hamba kepada nafsu sendiri, sehingga tidak lagi nampak jalan yang dahulunya pernah terang. Sedangkan jalan yang lurus itu terang tidak perlu bersuluh, "...sesungguhnya telah jelas perbezaan antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat" (2:256), cuma ramai manusia bersifat hipokrit kerana tunduk kepada nafsu.

Tidak usah pergi jauh, lihatlah kekacauan diri kita sendiri. KIta rasa kita telah menjadi diri sendiri dalam semua keputusan hidup kita, tetapi lihat semula, adakah keputusan-keputusan itu benar-benar dari pertimbangan neraca akal yang bersih atau didorongi oleh nafsu? Contohnya, sebagai pelajar kita perlu menyusun jadual waktu belajar kita. BAgaimanakah kita menyusun jadual tersebut? Apakah prioriti kita? Atas dasar apa kita membuat jadual sedemikian rupa? Di manakah kita taruhkan agama dalam jadual hidup kita yang sibuk? Apakah kita menyusun jadual kita dengan begitu padat sehingga hanya sedikit ruang tinggal untuk membaca Al-Quran dan beramal ibadat? Dan yang lebih penting, adakah kita meletakkan 'ruang-ruang' untuk nafsu bermaharaja-lela, atau lebih teruk lagi, membiarkan nafsu yang mengawal cara kita menyusun jadual tersebut.

Nafsu mempunyai banyak cara atau jalan-jalan halus untuk mengubah diri kita. Dan juga menjadikan kita seseorang yang kita sendiri benci. Orang yang akur kepada nafsu marah, tidak dapat menahan dirinya daripada menjadi marah dan gusar apabila berlaku sesuatu yang tidak diingininya atau yang menyakiti hatinya. Apabila jiwa dikuasai oleh nafsu marah, maka kita akan hilang pertimbangan diri dan dalam kedaan tidak sedar itu begitu banyak keburukan yang boleh kita lakukan dengan tidak sengaja. Contohnya mengeluarkan kata-kata yang kasar terhadap rakan sendiri atau melakukan sesuatu yang akhirnya kita sesali. Dalam keadaan begini, adakah itu yang dikatakan dengan menjadi diri sendiri?

Nafsu juga membawa kita kepada pembaziran. Dan pembaziran yang paling merugikan ialah pembaziran masa. Apabila kita membiarkan diri kita hanyut dibawa nikmat dunia, tanpa kita sedari begitu banyak masa yang telah kita bazirkan. Sedar tak sedar, hari telah berganti hari sedangkan tidak ada sebarang kemajuan yang telah kita lakukan dalam hidup kita. Contohnya, orang yang asyik menonton televisyen siang dan malam akibat dorongan nafsunya yang mahukan hiburan, akan tersedar akhirnya masa telah berlalu dengan sia-sia. Dan adakah orang ini dapat mengatakan bahawa dia telah menjadi dirinya?

Dan akhirnya, nafsu juga membawa kita jauh dari tujuan asal kita diciptakan. Iaitu untuk menjadi seorang yang taat dan patuh kepada Allah. Firman Allah "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu" (51:56). Oleh kerana inilah tujuan sebenar penciptaan diri kita, maka inilah yang sepatutnya menjadi definisi 'diri sebenar' kita. Malangnya, ramai antara kita telah lupa akan 'diri sebenar kita' dan meletakkan definisi-definisi yang berlandaskan nafsu dalam menggambarkan siapa diri kita.

Saya katakan bulan Ramadhan adalah bulan terbaik untuk kita kembali menjadi diri kita semula kerana inilah bulannya di mana kita diberikan peluang seluas-luasnya untuk bertarung satu lawan satu dengan nafsu kita sendiri. Dengan tiadanya syaitan, yang dapat mendorong kita melakukan sesuatu yang 'bukan diri kita' hanyalah nafsu. Oleh itu garaplah masa sebulan ini, angkatlah panji-panji dan berjihadlah menentang hawa nafsu sehingga ia tumbang dan yang tinggal hanyalah fitrah diri kita yang suci.

Selain ketiadaan syaitan, puasa itu sendiri adalah satu senjata yang amat kuat untuk digunakan bagi melawan nafsu. Malang sekali sekiranya pertarungan seharian kita dengan nafsu kita musnahkan dengan makan secara berlebihan ketika berbuka. Dan malang juga bagi kita sekiranya sepanjang bulan Ramadhan ini, yang kita lawan hanyalah nafsu makan dan minum. Sebaiknya kita gunakan kesempatan yang ada ini untuk menentang nafsu-nafsu yang lain, seperti nafsu tidur, berehat-rehat, menonton tv, berbual yang sia-sia dan sebagainya. Dan biarlah kemenangan melawan nafsu ini kita bawa terus keluar dari Ramadhan, bukan terhenti sebaik takbir raya bergema. Dan sesungguhnya, orang yang berjaya melawan nafsunya adalah orang yang sangat beruntung, sepertimana firman Allah, "Dan adapun orang2 yang takut kpd kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sungguh SYURGA-lah tempat tinggalnya (79:40-41)

Alangkah indahnya seandainya apabila kita melangkah keluar dari bulan Ramadhan ini, kita lahir sebagai seorang yang baru, yang akhirnya berjaya menjadi dirinya yang sebenar. Ibarat sehelai kain yang dibersihkan dari segala palitan, akhirnya keluar sebagai kain yang putih bersih semula.

Semoga Allah memberikan kita rahmat dan petunjukNya sepanjang bulan Ramadhan ini. Dan juga semoga kita diberikan nikmat kesedaran dan kemahuan untuk berjihad melawan nafsu kita sepanjang Ramadhan ini. Takutlah kita seandainya selepas ini kita tidak lagi diberi peluang untuk bertemu semula dengan Ramadhan. Dan yakinlah, orang yang berjaya menjadi dirinya yang suci dan tenang hanyalah orang yang berjaya melawan nafsunya. Dan ketahuilah, segala nikmat dunia yang dikejar-kejar oleh nafsu kita ini, di akhirat kelak akan dipandang seolah-olah hanyalah satu saat yang berlalu.

"Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Allah mengumpulkan mereka, mereka merasa seakan-akan tidak pernah berdiam (di dunia) kecuali SESAAT SAHAJA pada siang hari, (pada waktu) mereka berkenalan. Sungguh rugi orang yang mendustakan pertemuan mereka dengan Allah, dan mereka tidak mendapat petunjuk" (10:45)

Menulis untuk diri sendiri dahulu sebelum untuk orang lain. Wallahua'lam

No comments: