Followers


Sunday, April 17, 2011

PERANAN GURU DALAM DISIPLIN PELAJAR

SUMBER: http://pustakatimur.com/blog/285

Guru memainkan peranan yang penting dalam membimbing para pelajar di bawah jagaannya. Guru menolong pelajar membuat penyesuaian peribadi, sosial, emosi dan akademik dengan persekitaran sekolah, peraturan tatatertib dan sebagainya terutama pada awal persekolahan.

Pelajar menghadapi masalah dan kekeliruan apabila mereka meneroka situasi pembelajaran yang baru. Mereka memerlukan penyesuaian diri. Dalam hal ini, pelajar perlu diperkenalkan dengan sistem pendidikan dan matlamat kurikulum serta sukatan pelajaran, termasuk juga kaedah atau cara belajar, situasi persekitaran dan peraturan sekolah dan kepentingan sesuatu mata pelajaran terhadap masa depan mereka.

Program orientasi merupakan salah satu cara yang sesuai untuk mencapai matlamat ini. Apabila kita bincangkan mengenai aspek yang sama dalam kontek seseorang guru dalam mewujudkan kesesuaian dengan murid apabila seseorang guru berada pada hari pertama di dalam kelas atau sekolah. Ini bagi memudahkan komunikasi dan mewujudkan kebiasaan kepada murid. Hari atau minggu suaikenal antara guru dan pelajar adalah penting bagi mewujudkan suasana belajar yang lebih produktif. Melalui interaksi ini, guru berkomunikasi dengan murid bagi mewujudkan suasana yang lebih mesra.

Guru juga harus mewujudkan peluang kepada setiap pelajar untuk mengembangkan daya kebolehan diri mereka mengikut kemampuan dan kesanggupan mereka. Bagi pencapaian dalam pelajaran, perlulah ada perancangan pelajaran sejak dari peringkat awal pembelajaran. Dalam hal ini, pelajar perlu diberi bimbingan perancangan pelajaran yang sesuai dengan kebolehan dan minat masing-masing.

Jadi peranan guru di sini ialah untuk memberi kesedaran kepada pelajar di peringkat awal lagi sehingga mereka mencapai satu tahap yang dapat menanamkan sikap suka kepada pelajaran. Ini akan mendorong ke arah pencapaian objektif pelajaran. Oleh itu, adalah penting bagi seseorang guru untuk menyediakan ruang bagi perkembangan ini.

Sebagai contoh, semasa menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran, guru tidak seharusnya lupa atau alpa kepada kemahiran mengulang semula isi pelajaran dan kemahiran bersoal jawab bagi mengesan prestasi para pelajar. Dengan ini, pelajar merasa dihargai dan mendapat pertolongan jika mereka tidak menguasai pelajaran tersebut.

Guru juga berperanan untuk mengenal pasti kesulitan atau keadaan yang tidak memuaskan dan boleh mengganggu pencapaian akademik pelajar, mengembangkan aspek peribadi dan sosial pelajar serta memberi bimbingan dan kaunseling mengenainya. Adalah penting bagi seseorang guru itu mengenal pasti pelajar-pelajar yang bermasalah atau mempunyai kesulitan dalam diri sendiri atau dikatakan juga konflik jiwa, kekecewaan, rasa tersingkir, rendah diri dan bosan dalam hidup.

Semua ini merupakan gejala tidak sihat yang memerlukan bimbingan terutama daripada guru. Masalah ini mungkin berpunca daripada masalah yang lebih bersifat peribadi akibat kekurangan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan aspek-aspek perkembangan yang begitu pantas. Masalah kejutan budaya, krisis keluarga, persahabatan, jantina dan kewangan adalah antara masalah yang memerlukan perhatian dan bimbingan daripada guru. Oleh itu, apabila seseorang guru melihat perubahan pada diri pelajar, contohnya sentiasa termenung, sedih dan sugul, tidak hadir ke sekolah, apakah tindakan anda sebagai seorang guru untuk membantu pelajar?

Guru harus membantu pelajar untuk membentuk tabiat kerja yang baik dan menghargai kerja yang sempurna. Ini bererti, guru harus menanam tabiat menjalankan kerja atau tugas yang diamanahkan dengan sempurna kepada pelajar. Pelajar tidak boleh membuat kerja secara ala kadar sahaja. Malah mereka perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan tugasan yang diberi. Guru merupakan teladan yang baik dalam perkara ini.

Guru sebagai contoh dalam budaya kerja, contohnya persiapan semasa hendak memulakan pengajaran, BBM yang baik dan sempurna serta menarik agar pelajar tahu yang guru mempunyai komitmen dalam tugas. Begitu juga dalam aspek penyemakkan hasil kerja murid. Guru hendaklah mempunyai kesungguhan dalam melaksanakan perkara tersebut. Berilah peneguhan kepada murid bagi merangsang mereka untuk belajar. Contohnya, hadiah dan pujian adalah merupakan antara peneguhan positif yang boleh dilaksanakan oleh guru.

Kerjasama tiap-tiap guru mestilah ada untuk membenteras ketidakhadiran pelajar ke sekolah. Guru seharusnya peka terhadap masalah ini dan mengambil tindakan segera sebelum keadaan tidak dapat dikawal lagi. Mungkin pelajar berasa seronok berada di luar sekolah dan mengadakan kegiatan yang mereka seronok melakukannya. Pelajar juga mungkin terpengaruh dengan desakan rakan sebaya yang mengajak mereka keluar daripada bilik darjah dan ponteng sekolah.

Masalah ini kerap kali dilakukan oleh pelajar yang memasuki alam remaja kerana mereka ingin merasai kebebasan.Mungkin juga mereka membenci mata pelajaran itu yang mendorongkan mereka enggan menghadirikan diri ke sekolah. Oleh itu, guru perlu memahami peranan mereka dalam membantu pelajar memahami peranan mereka sebagai seorang pelajar.

Guru yang masuk ke dalam bilik darjah itu harus mengambil berat dan memastikan kedatangan tiap-tiap pelajar bagi mata pelajaran yang berkenaan. Guru mesti menentukan bahawa bilangan pelajar itu adalah mencukupi dengan bertanyakan tentang bilangan kehadiran mereka. Kedatangan pelajar seharusnya sama dengan bilangan pelajar yang dicatatkan dengan menyemak bilangan pelajar sebelum memulakan pengajaran mereka.

Dalam hal ini, guru hendaklah memastikan tiada pelajar yang terlibat dengan gejala ponteng ini dan mengambil tahu akan sebab musababnya mengapa pelajar tersebut ponteng. Perkara ini perlu dibuat laporan dan dirujukkan kepada guru bimbingan dan kaunseling dan disiplin agar tindakan segera dapat diambil.

Pengajaran guru yang kurang menarik perhatian pelajar dan mungkin membosankan mereka juga meriupakan satu penyebab pelajar ponteng. Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan teknik pengajarannya. Guru juga seharusnya mewujudkan perhubungan yang mesra dengan pelajar dan kerap kali berbincang dengan mereka untuk menyelesaikan masalah pelajaran mereka.

Dalam pada itu, guru perlulah mengenal pasti pelajar yang suka ponteng dan cuba berbual serta berbincang dengan mereka secara individu untuk mengetahui masalah sebenarnya yang pelajar sedang hadapi.

Guru haruslah mempunyai kerjasama yang baik dengan ibu bapa dalam hal ehwal perkembangan pelajar, sekolah, proses pelajaran kurikulum dan kokurikulum. Jangan sekali-kali ada jurang atau gap antara guru dan ibu bapa.Guru boleh menghubungi ibu bapa pelajar tersebut untuk mengenal pasti punca ketidakhadiran pelajar ke sekolah. Guru boleh berbincang dengan mereka untuk mengatasi masalah tersebut.

Kerjasama ibu bapa merupakan satu kaedah yang berkesan untuk menyelesaikan masalah ponteng. Dalam hal ini, ibu bapa perlu sentiasa bekerjasama untuk membantu guru dalam menyelesaikan masalah pelajar demi kepentingan anak-anak mereka.

No comments: