Followers


Tuesday, October 6, 2009

Apakah yang kita cari dalam kehidupan?

Dalam kehidupan kita ada beberapa perkara yang kita perlu nilai dan kaji dari masa kesemasa supaya objektif hidup kita benar benar memberi matlamat untuk kebahgiaan di dunia dan akhirat.

Pegangan dan amalan ugama

Ini adalah sangat penting khususnya bagi orang orang Islam untuk menentukan bahawa ia kuat imannya dan memahami ajaran Islam yang telah dibawa dan telah disebarkan oleh Rasulullah menerusi menerusi Al Quran dan sunnah Rasullullah. Kita mesti faham dan menghayati dan mengamalkan segala ajaran tersebut dengan keikhlasan hati agar segala amalan kita dan perbuatan kita mendapat keredhaan Allah. Dengan itu kita akan diberi ganjaran yang sewajarnya.

Kita perlu menilai kedudukan atau status keugamaan kita setiap hari. Janganlah kita menunggu satu perkara atau musibah berlaku barulah kita sedar betapa pentingnya pegangan kita kepada ugama Allah.Walau demikian jika ini yang boleh mengingatkan kita, maka itulah yang sebaiknya. Kadangkala kita leka akibat kemewahan dan kekayaan kita. Perlu diingat bahawa ini semua adalah sementara dan tidak akan kekal dan apabila kita mati, harta dan pangkat kita tidak akan kita bawa ke akhirat kelak. Hanyalah amalan kita, ilmu yang kita menafaatkan, sedekah jariah dan anak anak yang soleh yang boleh menolong kita di alam barzakh kelak.

Sumber rezeki yang halal

Kita perlu menilai pekerjaan kita yang memberi kita rezeki untuk menampong keperluan keluarga, keperluan diri dan lain lain. Kita perlu tentukan bahawa sumber sumber rezeki adalah halal. Apa yang penting dalam pekerjaan kita untuk mendapatkan rezeki ialah pekerjaan itu adalah mendapat keredhaan Allah S.W.T. iaitu kerja yang menafaat dan bukan kerja yang bersubahat dengan kemungkaran. Jauhkan riba, rasuah, perjudian dan lain2 hasil haram. Makan dan memberi makan keluarga dengan hasil atau rezeki yang haram akan menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka.

Tentang rezeki yang diberikah oleh Allah, kita mestilah ingat bahawa hanya sebahagian daripadanya adalah untuk kita menampong kehidupan kita dan keluarga dari segi makanan, pakaian dan tempat berteduh, dan sebahagiannya kita perlu simpan untuk masa hadapan, untuk perlindongan kita serta keluarga. Sebahgian yang lain untuk keperluan modal bagi perusahaan pertanian atau perindustrian manakala sebahagian yang lain lagi untuk menanggong dan menolong orang orang yang dhaif, fakir miskin, anak anak yatim, orang orang sakit, orang orang yang memerlukan bantuan akibat menanggong hutang. Kita juga perlu membantu mereka yang berjuang untuk menegakkan Islam, iaitu untuk berjihad “fiisabilillah”. Melaksanakan tanggungjawab untuk berzakat dan bersedekah adalah sangat penting dalam islam. Kita mesti agihkan serta menguruskan kewangan kita dengan bijak supaya mendapat keredhaan Allah.

Kehidupan berkeluarga

Kehidupan berkeluarga adalah sangat penting bagi setiap orang dan memang ajaran Islam menerusi Quran dan hadith menyeru kita supaya berkahwin dan mendirikan rumahtangga. Banyak pahala dan ganjaran yang diberikan kepada mereka yang berbuat demikian. Untuk membina satu keluarga yang bahagia dan berjaya dunia dan akhirat, kita perlu perancangan yang teliti dan teratur.

Suami isteri mesti berbekal dengan ilmu pengetahuan tentang Islam serta ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam caragaya keibubapaan demi untuk mendapat kebahagian dan kenikmatan hidup berumahtangga. Mendidik anak dan membesarkan anak, membentuk akhlak dan kesahsiannya perlulah dilakukan dengan garis panduan dan lunas lunas keislaman. Oleh itu ajaran asas bagi anak anak mestilah ajaran Al Quran, bukan sahaja setakat mengetahui bacaan dan tajwidnya, tetapi apa yang penting ialah untuk memahami isi kandongan Al Quran supaya kita dapat menghayatinya ajarannya sejak awal awal lagi.

Dengan ini kanak kanak yang membesar ke peringkat remaja dan dewasa mempunyai asas teguh sebagai disiplin diri mereka supaya mereka tidak jauh tergelincir atau menyeleweng daripada jalan atau arus hidup yang penuh dengan berbagai cabaran dan liku liku serta rintangan kehidupan.

Penjagaan Kesihatan

Penjagaan kesihatan adalah sangat penting untuk membolehkan kita membuat amal ibadah dan berusaha untuk mendapat rezeki yang halal. Setiap pagi kita bermula dengan berdoa dalam Qunut, dan ketika kita duduk diantara sujud kita juga berdoa untuk mendapat kesihatan, jasmani, rohani dan mental. Berdoa sahaja tidak mencukupi tetapi kita perlu menjaga kesihatan melalui garis panduan yang tertentu. Al Quran dan hadith ada memberi panduan tentang jagaan kesihatan, samada dari segi jagaan pemakanan, riadah ataupun lain lain perkara yang perlu dijaga demi untuk mendapat kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan. Rasullullah banyak memberi panduan kepada kita tentang tabiat dan juga kandongan makanan yang baik untuk menjaga kesihatan.

Janganlah kita mengikut hawa nafsu dalam makan, kerana jika tidak terkawal makanan kita, salah satu perkara yang boleh timbul ialah kegemokan dan berbagai-bagai penyakit boleh timbul akibat daripada ketidakseimbangan pemakanan kita. Begitu juga kita mesti dapat ketenangan fikiran serta dapat menangkis stress atau tekanan mental dan fisikal akibat daripada pekerjaan, pergaulan ataupun sekitaran. Amal ibadah merupakan cara yang paling berkesan iaitu sembahyang, berpuasa, membaca Al Quran dan hubungan silatulrahim untuk menangkis keadaan stress ini. Stress atau tekanan mental dan fisikal ini telah dikaitkan oleh doctor perubatan sebagai menyebabkan seribu satu macam penyakit dan dengan amal ibadah, Insya Allah kita dapat mencegah penyakit penyakit tersebut.

Kerjaya dan profesyen.

Ini adalah satu bidang yang sangat penting dalam kehidupa kita. Setiap manusia mestilah mencari ilmu, meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam apa bidang sekali pun selagi ia diredhai Allah. Janganlah mencari satu profesyen ataupun kerjaya yang bersubahat kepada kemungkaran.

Dalam bidang pekerjaan apa pun, yang penting ialah kita mendapat kepuasaan daripada pekerjaan tersebut, dan bukannya semata-mata kita mahu menerima bayaran atau upah sahaja. Jika kita membina kerjaya atau profesyen kita dengan ikhlas kerana Allah, dikerjakan dengan penuh minat dan dedikasi serta mengharapkan kepuasan mental dan rohani daripada hasilnya, Insya Allah kiat akan diberi rahmat dan mendapat keredhaan Allah.

Janganlah kita asyik fikirkan hasil kerjaya itu dari segi wang ringgit sahaja. Mengikut sejarah orang orang dahulu yang berjaya dalam bidang kepakaran dan perusahan atau perniagaan mereka, kita dapati mereka itu bekerja oleh sebab minat atau hobi mereka dan bukan didorong dengan ganjaran atau wang ringgit sahaja.

Sekarang ini saya dapati ramai dikalangan orang orang muda yang baru keluar daripada institut pengajian tinggi dengan ijazah kepakaran mereka mempunyai matlamat hidupnya yang agak lain daripada orang dahulu, iaitu mereka mahu cepat kaya dan mahu cepat naik pangkat. Tetapi tidak memikirkan tentang unsur unsur dedikasi, komitmen, keikhlasan dalam pekerjaan mereka. Ini adalah satu situasi yang sangat menyedihkan.

http://home.hamidarshat.com/IFDPnilai_diri.htm